Wednesday, April 1, 2009

Kampung Jeruju Jadi Tumpuan Pelajar Antarabangsa UUM

Lebih 100 pelajar antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) disajikan dengan pelbagai jenis makanan, minuman, permainan dan pertunjukkan pakaian tradisional di Kampung Jeruju yang terletak di Daerah Kubang Pasu baru baru ini.

Ketibaan mereka disambut meriah oleh penduduk kampung itu dengan paluan kompang, bunga mangga dan persembahan silat sebelum dibawa untuk menjalankan beberapa aktiviti lain.

Pengerusi Bidang Kemanusiaan UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS) Prof Madya Dr Nuraini Yusoff yang ditemui berkata, pelajar dari Timur Tengah ini dibawa untuk menyaksi dan melihat sendiri kehidupan penduduk di situ.

Katanya, jalinan hubungan ini diharap dapat memberi gambaran yang sebenar kepada mereka ini mengenai adat dan budaya di Malaysia.

“Penyertaan mereka dalam aktiviti mengoreng ikan, menyediakan bubur Asyura, bermain bola sepak dengan menyarungkan kain batik dan perarakan pengantin memberi pengalaman manis kepada mereka,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Program ini dijalankan oleh Kolej CAS UUM dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia cawangan Kedah dan pihak pengurusan Homestay Kampung Jeruju, Jerlun Kedah.

Kampung ini didiami oleh 304 orang di 63 buah rumah dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Antara keistimewaan dan aktiviti penduduk di sini ialah menyedia dan mempersembahkan adat istiadat perkahwinan, memproses kuih tradisional, persembahan kesenian dan permainan tradisional.


thanks to SAM

No comments:

Post a Comment