Bercakap di Majlis Pemasyhuran DPP SME Bank di Sintok pagi tadi, Pengerusi SME Bank, Dato’ Gumuri Hussain berkata pelbagai program penyelidikan dan perundingan bakal dijalankan yang boleh membawa faedah kepada kedua-dua belah pihak.
“Diharapkan hasil daripada program penyelidikan ini dapat digunakan untuk membantu para usahawan dalam meningkat dan memajukan perniagaan mereka.
“Melalui penyelidikan dan perundingan ini, SME Bank dan UUM dapat membantu melahirkan usahawan yang berdaya saing, berdaya maju dan cekal untuk memasuki pasaran global,” kata Dato’ Gumuri di DPP SME Bank pagi tadi.
Selain itu, melalui kerjasama ini SME juga menyediakan pelbagai program secara bersama bagi mengembangkan minat mahasiswa UUM ke arah keusahawanan dan memberi pendedahan awal untuk menjadi usahawan.
Dato’ Gumuri berkata, antara program yang dikenal pasti adalah perlaksanaan Skim Usahawan Siswazah termasuk Program Inkubator Usahawan Siswazah yang akan bermula pada peringkat pra graduan sehinggalah pelajar menjadi graduan dan berjaya dalam kerjaya keusahawanan.
“Di samping itu SME Bank juga akan menyediakan peluang latihan keusahawanan dan perniagaan kepada pelajar UUM dan juga tempat untuk pelajar menjalani latihan praktikum samada di SME Bank atau program penempatan industri di kalangan pelanggan SME Bank,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab mereka di SME Bank untuk turut sama menyokong dan menjayakan hasrat kerajaan di dalam melahirkan usahawan yang berjaya dan membentuk graduan universiti yang berminat dan berkemampuan untuk meneroka bidang keusahawanan.
Tambah beliau melalui usahasama ini UUM turut bersama dengan SME Bank dalam merealisasikan hasrat kerajaan tersebut.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi dalam ucapan aluannya berkata, dengan penajaan daripada SME Bank mampu memotivasikan mahasiswa UUM ke tahap yang lebih baik.
“Dengan kepakaran yang ada di kalangan akademiknya, UUM dapat membuat kajian tentang SME Bank dalam pelbagai aspek dan boleh menjadikannya sebagai kajian kes dalam proses pengajaran serta pembelajaran dalam bilik kuliah,” kata Dr Nordin.
“Saya percaya pelbagai topik menarik dapat dijadikan sebagai kajian kes berkaitan SME Bank yang dapat dibincang dan diketengahkan oleh mahasiswa UUM dalam mengembang dan meningkatkan pengetahuan mereka,” kata beliau lagi.
DPP SME Bank yang boleh memuatkan hampir 2,000 mahasiswa dalam satu-satu masa adalah DPP ke-15 dan terakhir yang mendapat penajaan syarikat korporat. Sebelum ini DPP tersebut dikenali dengan DPP Bukit Kachi 2.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah SME Bank, Dato’ Huang Sin Cheng, Pengarah Urusan, Dato’ Azmi Abdullah, Timbalan Presiden 1/ Ketua Pembangunan PKS dan Khidmat Nasihat SME Bank, Salim Saparman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Dahlan Ismail, serta pegawai-pegawai kanan universiti.
thanks to ct
No comments:
Post a Comment