Wednesday, April 1, 2009

Siti Nurhaliza Dan Nabil Rayu Bekalan Elektrik

Tiga murid Sekolah Kebangsaan Felda Batu 8 Changlun bergelap dan terpaksa bertemankan lilin untuk menyiapkan kerja sekolah dan menelaah pelajaran mereka.Aidil Fitri Hamka 9 tahun, Aidil Zamzuri 8 tahun, Siti Nurhaliza 6 tahun dan Mohd Nabil merayu supaya dibekalkan elektrik ke rumah mereka bagi memberi keselesaan kepada mereka, ibu bapa dan adiknya Hafizi yang berumur setahun.
Ibunya Hani Zaida Hamid berusia 29 tahun yang tinggal bersama lima orang anak dan suaminya Hamka Nayan 35 yang bertugas sebagai pekerja pembersihan merayu kepada pihak yang bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembinaan dapur, tandas dan pemasangan elektrik seperti yang dijanjikan.
“Kami berterima kasih kepada pihak Ahli Parlimen Kubang Pasu kerana memberi peruntukan untuk pembinaan rumah tetapi kami masih mengharapkan pembinaan tandas, dapur dan pemasangan elektrik bagi kemudahan terutama anak-anak yang sedang bersekolah,” katanya kepada pelajar Kursus Masyarakat Kemiskinan dan Program Kebajikan di bawah Kerja Sosial UUM CAS yang berkunjung ke rumah mereka bersama pensyarah Zakiyah Jamaluddin.

Seramai sepuluh pelajar bagi setiap kumpulan kerja sosial dipertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Kubang Pasu mengenai keluarga yang hidup dalam kelompok miskin tegar dan cuba mendekati mereka untuk berinteraksi secara dekat mengenai permasalahan dan keperluan mereka.

Rafis Hussin, 22 pelajar semester empat yang menyertai program ini berkata, tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka sesungguhnya amat menyentuh peribadi kerana sebelum ini pensyarah hanya mengajar mengenai matapelajaran ini dalam bilik kuliah secara teori tetapi apabila keluar untuk membuat tugasan kami terkejut kerana masih ada kalangan rakyat tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik.
Bagi Atikah Abu Kassim, 22 yang bercita-cita untuk menjadi Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas tamat belajar di UUM pula berpendapat masyarakat harus bersama memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak yang berkenaan supaya membantu mereka yang memerlukan bantuan.
“Kadangkala kerana mereka berada jauh di dalam kampung dan kurang bergaul dengan masyarakat maka kesulitan dan pemasalahan mereka tidak diketahui pihak yang berkenaan untuk diberikan bantuan,”ujarnya lagi.

Namun bagi Azhar Jamaluddin, 24 pula seharusnya pihak yang dipertanggungjawabkan atau masyarakat sekeliling harus peka dan sentiasa mengambil tahu permasalahan penduduk sekitar agar masyarakat di kawasan itu terbela kerana berbagai jabatan dan kementerian diwujudkan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Dalam pada itu pensyarahnya, Zakiah Jamaluddin yang ditemui berkata, beliau berasa bangga kerana pelajarnya turun padang bukan sekadar untuk melihat permasalahan masyarakat namun mereka telah memperaktikkan apa yang dipelajari dalam bilik kuliah dengan membuat susulan ke jabatan-jabatan yang perlu untuk menyelesaikan masalah termasuk bersama keluarga yang hendak dibantu itu selama beberapa jam dalam sehari.


thanks to SAM

No comments:

Post a Comment