Thursday, April 2, 2009

Tun Hajah Rahah Terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan)

Tun Hajah Rahah(tengah)

Tun Hajah Rahah Tan Sri Haji Mohd Noah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) pada Majlis Konvokesyen Ke-22 Sidang Pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) baru baru ini.

Beliau yang aktif dalam bidang sosial dan kemasyarakatan telah dilantik sebagai Presiden Girl Guides Association dari tahun 1963-1976 dan Patron Pertiwi dari tahun 1969-1979 kini dilantik sebagai Canselor Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) bermula dari tahun 2001.

Tun Hajah Rahah yang dilahirkan di Muar, Johor pada 11 Jun 1933 merupakan anak bongsu daripada 10 adik beradik. Hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, beliau telah dikurniakan lima orang anak lelaki iaitu Dato’ Seri Mohd Najib, Ahmad Johari, Mohd Nizam, Mohd Nazim dan Mohd Nazir.

Hasil didikan beliau dan Allahyarham, kesemua anak-anaknya telah berjaya dalam bidang-bidang yang diceburi dan salah seorang anaknya kini merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Hasil sumbangan bakti dan jasanya, beliau dianugerahkan darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun pada tahun 1976, iaitu wanita kedua yang diberikan gelaran Tun oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri Sabah juga telah mengiktiraf beliau dengan menganugerahkan Pingat Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu pada tahun 1977. Pada tahun 1976, National Council Women’s Organisation (NCWO) telah menganugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah kepada beliau dan akhir sekali pada 2005, beliau telah menerima Anugerah Khas Peneraju Felda bagi pihak Allahyarham Tun Haji Abdul Razak.

”Saya berasa gembira dan terharu serta ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan dan warga UUM yang telah menganugerahkan Ijazah Kehormat ini kepada saya,” ujar Tun Hajah Rahah.

Beliau turut menyifatkan bahawa anugerah ini sebagai penghargaan kepada para wanita dan para ibu yang telah sama-sama menggembleng tenaga, fikiran dan perasaan untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing seiring dengan aspirasi negara tercinta.

”Saya pernah melihat tahap pendidikan Malaysia pada tahun-tahun sekitar kita merdeka dan saya bersyukur kerana masih berpeluang untuk melihat tahap kemajuan pendidikan negara kita selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan.”

”Sebagai rakyat yang bangga dengan pencapaian ini, saya berdoa agar kita sama-sama dapat menjadi penyumbang dengan menyediakan pendidikan berkualiti untuk bangsa dan negara Malaysia pada hari muka dan menyahut kesemua cabaran Wawasan 2020,” tambah beliau lagi.

Beliau turut berpesan kepada para graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan kelak supaya tidak terlalu memilih kerja dan menggunakan setiap peluang yang ada untuk berkhidmat dengan penuh komited dan berdedikasi. Tun Hajah Rahah turut menasihati para pelajar supaya menggelakkan diri daripada terjebak dengan isu gengsterisme dan masalah sosial yang kian berleluasa masa kini.

thanks to ct

1 comment:

  1. salam bro...apa cherita...lama tak beramas mesra dgn hang ni...hari sabtu ni aku ada kat alor star...ada shoot dgn asmady...kalau free blh gak minum2 lepas job

    ReplyDelete